Rabu, 11 Disember 2013

Hospital lagi...siri 2

Dah lama tak menulis....
malu nak cakap..lupa password...hahhaha sebab dah lama tak masuk.
dan sebenarnya aku dah malas nak menulis...

Cerita terbaru...
My suami dah sebulan di hospital..
sebab yang sama...kencing manis.

Entahlah..sesekali rasa ok je..tetapi ada masa rasa berbaur perasaan.
lukanya taklah besar mana..tapi sebab ada jangkitan, itu yang membimbangkan.
keadaanya pun..sekejap ok, sekejap tak ok... paras gula turun naik...
selera makan pun, sekejap ok, sekejap tak ok...

Aku hanya mampu berdoa saja..Moga Allah sembohkan My suami dengan segera.
lain-lain aku tak mampu..
nak cari suplement pun..My suami pula tak mahu...

Rabu, 14 Ogos 2013

Hospital lagi...

    Memang cuak rasanya... tiap kali cuti sekolah, apatah lagi dalam mood raya, nak berulang alik ke hospital.... Kali ni, My suami ...kena tahan di wad kerana kaki dah membengkak gara gara kencing manis... Aku  tahu dia marah kalau tahu aku tulis ni... tapi terus terang aku katakan menjaga orang yang ada kencing manis ni...susahhhhh.. berpantang makan, bila nak jumpa doktor je...tapi bila ok...tak ingat langsung penyakit... sepatutnya sendiri laa kena tahu pantang larang...

    Besok besar kemungkinan, My suami akan dibedah...di bahagian yang menanah.. Malam ni, si Kecik volunteer jaga si ayah... Aku nak tunggu pun susah, sebab wad lelaki....tunggu di rumah aje laa.. kalau ada apa apa hal... Moga Allah SWT.. permudahkan segalanya..Moga tidak ada yang memudaratkan....


Selasa, 13 Ogos 2013

Gambar hari raya yang tak seberapa..

Aku dan My suami.... kami tak pernah pakai baju sedondon...           


 Tidak dinafikan... kebelakangan ni , aku bukan saja malas menulis. malah nak ambil gambar pun malas... Hari raya baru ni pun, hanya ada beberapa keping gambar saja yang ada ....Tahun bertahun berganti.. kami sekeluarga tak pernah pilih baju sedondon.....( baju sanding kami pun berlainan warna...hehehhehe )
Tapi dalam malas nak bergambar... kadang kadang terhasil gambar gambar lucu sebegini yang terasa sayang nak dibuang... tapi nak masuk facebook tidak laahh.... hahhahaha.
 Si kecik yang dah remaja dah pandai pilih baju melayu sendiri... warna pun pilihan sendiri...Dia tetap anak yang comel...hehhehe
Samada Hakim sedar atau tidak... dah dua tahun berturut dia pilih warna merah....tapi paling malang anak aku yang sulong.. Fakrur Razi ...tahun ni tak pakai baju raya.. sebab tangan bersimen...accident seminggu sebelum raya... makan pun kena berpantang, tak boleh makan pulut, kacang....ermmm tak adalah lemang dan nasi impit...
Tapi paling sempoi anak aku si Faiz... dah laa baju raya tahun ni kena tempah tapi warnanya sama je macam tahun lepas....
gambar dua tahun lepas...


Ahad, 4 Ogos 2013

Rindu.

     Sudah lama tidak menulis...hinggakan Ramdhan, hampir menyusur pergi., tidak juga sebaris ayat dapat ditulis. Bukan sekadar kekangan masa...tetapi bebanan tugas dan keinginan untuk menulis kian berkurangan....
   Tapi kali ini ..aku kena menulis, kerana rindu ini tidak dapat dibendung lagi. Rindu pada arwah bondaku, rasanya tak terbendung lagi...Barangkali kerana, syawal yang bakal tiba, terlalu banyak mengimbau kenangan manis bersama bonda..
   Kepada bondaku... bahagialah di sana..anakanda mu ini sentiasa mendoakanmu berbahagia di sana......sepilah hari raya kami kali ini tanpa mu...

Al fatihah untuk bonda....

Selasa, 25 Jun 2013

Hakim masuk Kolej Komuniti...

     Kalau ada manusia yang paling gembira hari ini..orangnya adalah aku. Kerana hari ini anak aku Hakim telah pun mendaftar ke Kolej Komuniti Sungai Siput. ALHAMDULLILLAH.....

    Barangkali ada yang tak  faham kenapa aku begitu gembira, tapi bagi sesiapa yang mengikuti tulisan tulisan dalam blog entri ku ini pasti tahu, bagaimana sikap Hakim.. Anak yang begitu bermasalah semasa sekolah.. dan cuma hadir 2 subjek sahaja masa peperiksaan spm. Itupun nasib baik lulus BM...

   Kalau ada orang yang aku nak berterima kasih... Aku nak berterima kasih dengan orang yang memberi idea membina kolej Komuniti...khusus untuk pelajar seperti Hakim....dapat memberi peluang mereka belajar lagi..

   Dan Hakim, aku lihat pun gembira dan hati terbuka untuk belajar.. Aku berdoa Allah tetapkan hatinya untuk terus belajar. dalam bidang yang memang dia suka. Bidang Servis kenderaan ringan ( automotif ).....


P/s : Sayang tak ada gambar. Aku pun dah kian malas mengusung kamera....

Rabu, 29 Mei 2013

Sajak Untuk Guru ( sempena Hari Guru 16 Mei )



SELAMAT  HARI GURU
(khas untuk sahabat-sahabatku para guru )

Takala kita melangkah
Memilih untuk bergelar seorang guru
Kita dikabarkan pelbagai janji janji indah dipanggil  cikgu,
Kerja separuh hari, tengahari dah boleh jumpa anak isteri..
ada cuti panjang di hujung tahun , Makan angin ke mana mahu
Gaji lumayan, ada elaun, yang penting boleh buat pinjaman
Masuk hospital,  wad kelas  satu.
Hospital swasta pun boleh saja sebab mampu
Pakai kereta malaysia, kereta mewah pun boleh juga.
Duduk rumah besar, punya bibik pun boleh jika mahu

Sahabatku guru guru
Taman ini sebenarnya memang cantik terpuji
Dihiasi bunga bunga indah , haruman kasturi
Malangnya penuh onak yang menyucuk jari
Dipenuhi ranjau  berduri
Jpn , PPd dan bapak menteri  tak habis habis dengan transformasi
Anak anak didik menjadi bahan ujikaji
 dan kitalah para guru yang menjadi  penrealisasi..
 Selangkah tersilap kita bisa di bicara
Kita boleh disaman oleh ibu bapa
Yang kerjanya tak lain mencari salah kita.
Lautan yang kita sangka madu, boleh bertukar menjadi racun berbisa
Angan angan indah boleh menjadi malapetaka.


Walau di tangan kita memegang pen,
 lengan kita memgendong buku
Tetapi Di bahu kita ada amanah
Yang bakal ditanya, bukan saja di dunia
Juga di akhirat sana.
Yang kita pikul adalah tanggungjawab
Melahirkan insan insan cemerlang.
Yang kita didik adalah pemimpin pemimpin gemilang
Genarasi masa akan datang

Kitalah si Tukang batik,
yang mencorak dan mewarnakan
Helaian kain kain putih yang dihamparkan
Kalau merah diwarnakan. Merahlah ia
Kalau hitam dicelupkan, hitamlah ia.
Selamat hari guru
Wahai sahabat sahabatku para guru
Usah keluh dan resah dengan tugas yang diberi.
Kerana ganjaran di akhirat adalah pasti
Ikhlaskan hati dan terus berbakti
Allah pasti merahmati.
Selamat hari guru.

Roslaini Mohd Saad
13 mei 2013
Smk seri ampang, Ipoh , Perak

Selasa, 28 Mei 2013

Emak telah tiada....

     Hari ini cukup dua minggu emak meninggalkan kami ...Emak kembali ke sisiNya, pada 14hb Mei 2013....disaat dunia masih dengan sambutan Hari Ibu.
aku dan emak.. hari raya 2012
    
    Sebenarnya, sebelum ini aku ada menulis tentang emak yang ketika itu baru balik dari hospital... tapi tak sempat aku postkan di sini... Memang sebelum arwah meninggalkan kami, aku agak sibuk berulang alik dari Ipoh ke Taiping kerana menjengok beliau.. dan adakalanya aku terpaksa ambil cuti rehat khas.. kerana tak ada orang nak membantu abang yang menjaga beliau.

    Arwah emak ditakdirkan jatuh.. beberapa hari sebelum cuti semester pertama sekolah ( dalam bulan 3). Dan bila dihantar ke hospital, doktor sahkan tulang pinggul emak patah.. dan kena dimasukkan besi.. Bila dikenangkan balik, aku hanya katakan Allah hanya nak beri sebab sahaja..semua ini berlaku...kerana selepas inilah kesihatan emak sekejap ok dan kemudian merosot...dan Allah nak beri peringatan kepada kami anak anaknya, bila emak dimasukkan ke ICU..semua anak anak dan cucu cicit berkumpul dapat bertemu dengan emak...untuk kali terakhir bagi sesetengah kakak kakak  aku..
     Emak masuk ke hospital kali kedua dua minggu selepas keluar hospital... badan emak menolak besi yang dimasukkan.. dan doktor ambil keputusan untuk keluarkannya semula.. kerana dikuatiri jangkitan akan lebih teruk.. Masa ni aku perasan, tekak emak tak boleh terima lagi makanan...emak makan sikit pun nak muntah... kesian betul kalau aku kenangkan...

    Lepas balik hospital kali ke dua... kesihatan emak terus tak ok... Ujian paling besar yang terpaksa di tanggung emak bila luka pembedahan kena dicuci hari hari. Alhamdullillah, aku ada abang yang sabar dan menjaga emak.. kalau tidak entahlaa... harapkan abah, abah pun dah tua.

    10 hb mei, petang jumaat aku balik jengok emak..minggu ni aku pun agak sebok mengejar, menyiapkan kertas soalan yang belum siap.. Petang ini kali terakhir  aku dapat bercakap dan dengar suara emak.. Bila aku peluk dan cium emak..emak dalam keadaan kelesuan....aku ajak emak berbual, emak cuma berkata...' dah tak ada apa nak disembangkan'..aku cuba juga ajak emak bersembang..tapi emak macam nak tidor...Kemudian aku keluar mencari barang keperluan emak yang abang suruh...bila balik, emak dah tidur..hingga aku balik emak tak sedar..walau aku cuba kejutkan..
      Malamnya , abang talifon bagi tahu, emak dah jaga selepas abah dan dia baca yassin.... aku jadi teruja nak datang esuknya..Malang esuknya, aku ada LADAP di sekolah, jadi  sebelah petang baru dapat datang... Bila aku datang , sekali lagi emak dalam keadaan tidor...abang kata, dipagi nya dia ok..makan dan berbual... Sampai aku balik.. mak masih tidor. Aku ada juga cadangkan dipanggil ambulan hantar ke hospital.. tapi abang kata nanti dulu..
    Pagi Ahad..aku ke KL kerana pernikahan anak saudara ku..anak kak gayah...On the way, abang talifon aku lagi, emak masih tak jaga...aku minta abang call ambulan dan hantar  ke hospital. itu saja yang mampu kami buat... dan setengah jam kemudian bila aku talifon balik.. emak dah dihantar ke hospital...Pernikahan anak kak gayah berjalan lancar, tapi kami tak putus bertanya kabar emak... Usai majlis aku terus balik ke Ipoh .singgah mandi sekejap di Ipoh kemudian terus ke Taiping.... Di sana Kak Kiah dan abang ipar aku dah menunggu bersama abang...emak masih tak sedar.. malam itu emak direhatkan oleh doktor,, jadi kami berserah..
   Malam itu aku balik ke Ipoh, lagi pun aku tahu, kakak aku Kak ani dan Kak Pidah on the way dengan adik aku ram..untuk tunggu emak, ..bersama abang aziz..
   Esuknya aku ke sekolah seperti biasa.. walaupun perasaan aku tak tenteram.. Waktu free aku baca yassin  untuk emak....bagai tak sedar airmata aku gugur..... Habis waktu sekolah... aku ke Taiping balik bertemankan anak aku si Kecik.. Keadaan emak tak berubah ..macam biasa aku cium emak dan jamah badan emak... badannya masih terasa hangat..     doktor dah beri pengakuan 50/50  sahaja..peluang yang ada... kami semua pasrah.. hanya berserah kepada takdir.

     Malam itu aku balik, kerana si Kecik demam...dan perlu dibawa ke klinik.. Apa apa pun aku redha, ...kerana aku tak mampu nak buat apa apa lagi kecuali berdoa...Dan malam itulah..lewat pukul 12 lebih.. aku dapat panggilan talifon..emak nazak...dan tak lama kemudian aku dapat panggilan semula... emak dah tiada....
      Sedih memang laa sedih.. tapi setiap kali kesedihan itu datang... aku akan pujuk hati aku memberitahu...emak dah tak sakit lagi..Emak dah bahagia di sana..Dan sampai sekarang aku masih terbayang wajah emak yang tersenyum sewaktu dikafankan....memang wajah itu tak akan aku lupa..dan aku akan sentiasa rindukan emak...Alfatihah untuk emak..


  

Khamis, 21 Mac 2013

SPM dah keluar

Result SPM dah keluar...
Aku sebenarnya tak rasa teruja apa apa... walaupun anak aku sendiri ambil spm tahun sudah..dan inilah keputusan pertama dari sekolah baru aku mengajar... tapi aku macam tak kisah....

Hakim... aku dah boleh agak. Cuma nak tahu dia lulus BM atau tidak...alhamdullillah, Lulus. Tapi lulus yang tak punya erti apa apa.. Aku redha. dan dah jangka inilah keputusannya.. Cuma lepas ni, nak fikir, nak hantar dia ke mana. Itupun, kena atas kerelaannya.. Kalau dipaksa, takut hancur juga...Setakat ni tengok dia berkerja pun tak serius... tak sampai sebulan dah berhenti...entahlaaa... Kalau anak dara boleh juga dihantar belajar menjahit... ajar masak nasi.. lepas juga balik sekolah, nasi dah masak...Yang seronoknya melepak dengan kawan kawan.... susah sungguh nak makan nasihat...

Apa pun aku cukup puas hati... pelajar yang aku target A...berjaya dapat A...jadilah 3 orang... itu yang bersungguh pun. Result keseluruhan.. aku tak pasti. Tak sempat nak tengok pun, kelam kabut nak bagi result kat pelajar tadi... Yang aku agak agak boleh B pun.. memang dapat B... bukan tak boleh A.. tapi aku tengok mereka tak bersungguh....last minit kelas tambahan pun tak nak datang.

Apa apa pun.. yang dah keluar hari ni, dah jadi sejarah.... Mungkin tahun ini boleh diperbaiki... kena atur strategi...Kalau strategi tak jalan... lantak engkau le labuuuu.....

Jumaat, 8 Februari 2013

Rindu dengan dapur....

Dah hampir sebulan, rumah aku tak berdapur..... Masih dalam renovation. Inilah impian aku selama ini. Ingin mengubahsuai dapur supaya lebih selesa.... Malangnya dah hampir sebulan, dapur ku masih belum siap. Logiknya macamana nak siap kalau sekejap buat sekejap tidak..... buat kerja pun slow.....

    Aduhhh... inilah yang disesalkan bila bagi kepada kontraktor melayu. Bagi kat kontraktor bangsa asing, sudahlah mencekik darah...mahal giler... Sebenarnya aku kalau boleh nak bantu anak bangsa sendiri dalam peniagaan. Bila tengok hasil buatan kontraktor yang ku ambil ini di rumah kawanku... agak boleh tahan juga kemasnya... tapi tak sangka pula, begitu melengah masa.

    Mereka mula kerja biasanya bila mentari dah tinggi...berbeza dengan pekerja bangsa asing...mula pukul 8 habis pukul 6..macam waktu pejabat. Nak pasang ubin lantai pun berhari hari ....aduhhhh, lemah betul aku tengok.. dah pasang separuh jalan, tinggal tak bersambung lagi.... berbeza betul dengan bangsa mata sepet yang pasang ubin dekat rumah jiran sebelah rumah hari tu... dua hari je..dah siap...dahlah laju, kemas pulak tu. .berhenti pun cuma untuk waktu makan.

    Cuti tahun baru cina ni...aku dah berangan angan, nak basuh dapur dan kemas apa yang patut.... malangnya tak sampailah impian aku.... Paling sedih... rasanya dah lama tak masak.....huwwwwwaaa..bila nak siap ni.....!!!!!

Selasa, 15 Januari 2013

Dah 3 minggu berlalu .....

      Dah 3 minggu masuk tahun baru....dan bererti sudah 3 minggu bermula semula persekolahan bagi sesi 2013.....

     Tahun ini si Kecik masuk alam baru persekolahan.. dah naik sekolah menengah.., Rasa tak percaya, anak manja emak, dah meningkat remaja....( walaupun kadang kadang tidor celah ketiak emak lagi..hehehehhe ) 
     Awal tahun ini, alhamdullillah....Allah beri aku satu nikmat baru....Aku tak perlu lagi jerit jerit untuk kejut bangun si Faiz dan si Kecik...... begitu mudah mereka bangun dan siapkan diri ke sekolah.. Oh ya, Faiz naik ke tingkatan 4 Kemanusiaan 2....salah satu kelas yang  aku ajar. Dan dia .nampak begitu happy di situ. Mulanya aku suggestkan pada dia untuk masuk kelas 4 MPV.. kelas pratikalnya pemasangan elektrik... Tapi Faiz dah happy di kelas dia sekarang, aku rasa tak perlu lagi aku menyusahkan diri... Dan pagi tadi salah seorang guru memuji Faiz di kelas... lega hati aku mendengar... Moga perubahannya kekal hingga tamat tingkatan 5.
     Tahun ini juga sebenarnya ..tahun yang banyak kelegaan bagi aku di sekolah..... tugas aku sebagai guru kelas digugurkan.. Memang ada aku minta untuk digugurkan sebab aku juga terpaksa jaga bilik seni...dan stok yang ada dibilik tersebut. Berbeza dengan guru sains... di makmal ada pembantu makmal membantu mengemas, menyimpan stok dan sebagainya.. Jadi guru seni kami kena buat semua termasuklah menyapu sampah....( kalau dah sakit mata... tak tahan tengok ) bila pelajar buat tak kisah nak kemas dan cuci..
      Cuma yang tak tahan.... bila sekolah dibuka... sakit lutut aku datang balik... Ini gara gara dok turun naik tangga....semalam aku dah MC pertama tahun ni... bukan saja urat kaki ...semua badan rasa tegang...sakit urat... Sebenarnya, aku pun bukan rehat sangat sepanjang cuti lepas...sampai akhir disember.. aku sibuk dengan tugasan dari Lembaga Peperiksaan.. Masuk tahun baru dah bermula semula kerja kerja sekolah...

     Dan awal tahun baru ni... ada satu perkara yang cukup mengembirakan aku... ada sesuatu yang cukup lama aku impikan akan jadi kenyataan.....aahahah.... tentang ini tungggguu.... nanti aku cerita... alahai rasa tak sabar... nak cerita.....tapi tunggu yere.......!!!!!

Ahad, 23 Disember 2012

Blog Adik Ipar...

Nak minta rakan rakan blogger tolong pakat pakat join, blog adik ipar saya ni...

http://www.zubaidahsksb.blogspot.com 
Blog ni ada markah sebahagian dari assignment, untuk lulus salah satu subjek yang diikuti...

Di dahulukan dengan terima kasih... tak susah join je..

Khamis, 20 Disember 2012

Result PMR Faiz...





      Semalam result PMR diumumkan..... Dan semalam anak ku Faiz juga menerima resultnya....
Memang aku tak menaruh harapan tinggi...kerana aku harus faham situasi Faiz sepanjang persekolahan yang lalu. Cuma tiga minggu sebelum PMR je masuk sekolah balik... dalam erti kata lain dia tak sekolah hampir 5 bulan..
     Memang mengejutkan... Faiz dapat 1 B - Bahasa Inggeris, dan 3 C - BM, Matematik dan Sejarah. Yang Lain D kecuali KH dapat E...itu pun aku yakin sebab tak hantar kerja kursus.Berkali -kali aku beritahu Faiz, kalau dia betul betul ikut pengajaran guru sepanjang tahun persekolahan tentu dia boleh dapat lebih bagus...... Dan aku begitu berharap dia tak mengulangi kesilapan bila di tingkatan 4 dan 5. seterusnya ambil SPM. Malah aku nak kalau boleh Faiz buktikan dia juga boleh jadi pelajar cemerlang...macam abangnya Razi. kerana aku yakin, dia sebenarnya boleh....
Kepada Allah SWT. aku panjatkan doa semoga anak anak aku ditetapkan hati...untuk terus berjaya mendapat ilmu dunia dan akhirat dan berjaya dalam mencari arah hidup....Amin.

Khamis, 29 November 2012

Selesai sudah ..PSV / spm 2012..

latihan sebelum mengajar.
     Hari ni berakhir sudah kertas PSV Seni halus kertas 2 SPM..untuk tahun ni...Petang tadi pelajar pelajar yang menjadi calun, telah selamat menduduk peperiksaan.... Sekolah aku, ada 5 orang tak hadir... Lantak laa malas aku nak contak parents mereka, kerana aku tahu, memang sengaja mereka tak mahu datang..  Yang datang pun..ramai yang keluar sebelum satu jam pertama...dari 3 jam diberi... aku yang jadi guru bertugas, menahan sakit hati je... nak dimarah macamana..itu pilihan mereka....
contoh untuk pelajar
 Aku sendiri yang jadi cikgu beria ia berlatih, menyediakan contoh untuk pelajar... malangnya ada pelajar pelajar ni haram tak kisah langsung...bagi mereka dunia belum kiamat walau tak buat pun...
 Setelah mencuba beberapa kali, aku dapati soalan burung ni..jauh lebih mudah berbanding soalan lain.. tapi ada pelajar haram tak kisah. bila diberitahu. Dua tiga orang pelajar yang ikut nasihat aku, nampaknya selamat masa peperiksaan tadi... Melukis burung hanya memerlukan teknik lukisan, Ada tiga ekor burung ni... soalan dah terjawab..
 Mulanya aku galakkan mereka buat air terjun ni...soalan no 2. Tapi pelajar pelajar pula kurang mahir bermain warna akan menghadapi masalah... Walaubagaimana pun ada seorang pelajar aku yang pilih soalan ni.. dan aku cukup berpuas hati...Inilah bukti kalau pelajar ikut kelas aku last minit pun...pasti boleh buat masa exam...
 Masalahnya...cikgu yang syok sendiri.. Hari pertama aku buat kelas ada dalam 10 orang aje yang datang.. yang betul betul lukis adalah 3 , 4 orang... yang lain hanya suka suka dema...Sampai hari terakhir,,, adalah 2 orang yang betul setia..dan aku berani jamin ada potensi A.
Nak bahan rujukan sebenarnya banyak,,,ini dari facebook.

 Sebenarnya banyak bahan rujukan yang boleh diperolehi dari internet.. malangnya ada pelajar tiru
bulat bulat... pelajar harapan aku pulak tu..

Contohnya lukisan di atas... ini karya seorang guru dalam facebook. Bayangkan kalau satu Malaysia tiru lukisan ni... untuk jadi bahan rujukan. masam juga laa pelajar tu bila aku tegur..Bahan rujukan bukan untuk ditiru tapi untuk menjana ide...
Ada juga pelajar yang pilih soalan jerat tengkok sendiri...Misalnya soalan 1. Aku memang tak galak pelajar buat...banyak elemen kena mahir.. Soalan satu berbentuk fantasi.... bawah dasar laut. .sejenis makluk separuh manusia separuh haiwan ..menjalankan aktivit..Bunyinya memang menarik... tapi nak main warna dan nak lukis bukan mudah...

Apa apa pun...aku sentiasa mendoakan pelajar pelajar ku keputusan yang terbaik....walaupun aku tahu peratus matapelajaran PSV akan jatuh teruk tahun depan.....Memang aku tak pernah bermimpi seratus peratus....jangan kan dalam jaga..dalam tidur pun tak mungkin...hehehhe

Jumaat, 23 November 2012

ULANGTAHUN PERKAHWINAN KE 21..23.11.2012

Hari ini perkahwinanku masuk tahun ke 21....
Terima kasih buat suamiku, yang menjadi teman paling rapat pernah aku ada.
Teman berkongsi susah dan  senang
teman berkongsi suka dan duka
teman bergurau dan bertengkar..( heheh..)
teman untuk segalanya...
Moga kita kekal untuk selamanya...selagi hayat ada...

Rabu, 21 November 2012

Ahli baru...AJD 557


 Memang dah lama aku berhajat nak memilik kenderaan yang baru... Memandangkan kereta yang aku guna sekarang semuanya dah berusia..Hondaku dah berusia 20 th lebih.. dan rusa ku pula dah berusia 16 tahun... untuk bergerak jauh seperti Kuala Lumpur.. selalunya aku harus bertawakal..supaya tidak meragam dijalanan...
 Setelah beberapa kali dipujuk dek budak sorang ni.. akhirnya aku teruskan hajatku ini... Idea  awalnya dialah yang nak kumpul duit untuk bayar deposit ..( kerja kat cyber cafe ) tapi memandangkan ada rezeki lebih sikit di hujung tahun ni...aku setuju nak bayar dulu duit muka.
tapi syaratnya tiap tiap bulan kami kongsi bayar separuh separuh....
 Aku buat begini bukan kerana aku manjakan anak.. tapi aku nak bagi dia tanggungjawab setiap bulan bayar duit kereta... walaupun separuh dari jumlah sebenar..
 Memang yang paling seronok ..budak inilaa...heheh macamlaa aku beli kereta ni untuk dia sorang.
Tapi dia pun dah jadi macam driver aku ke mana saja aku nak pergi.. seronok ajak dia.
 Seronoknya kereta baru aku ni..ada Navi...heheh...sorrilahh aku ni memang agak ketinggalan. Kereta lama aku memang tak ada semua ni...sian kan aku... itupun aku tak ambil yang auto. Walaupun orang kata senang.. bila aku tengok tak ada gear dan clutch..aku rasa fobia...hahahaha 
Old fashion aku kan...
 Wajah berposing dalam kereta..
Budak ni menyengeh tak habis...sampai ke malam... Moga satu hari nanti dia akan faham betapa susahnya untuk memiliki semua ini....
kalau tak ada kerja..tak ada duit... dan tak ada usaha....

Khamis, 15 November 2012

Projek cuti sekolah..

     Cuti sekolah dah mula... Sebenarnya banyak lagi kerja sekolah yang belum aku settle... tapi sehari dua ni relaks dulu laa... hahahha. Aku ambil peluang lepas geram mengecat rurumah... Dah lama juga tak berubah wajah rumah aku ni... Kederat pun bukan ada sangat dah... tapi dek kerana teringin sangat melepas geram... dapat laa juga aku teruskan niat murni aku ni....
 Yang sebelah atas... tak mampu lah aku nak memanjat.. jadi minta anak bujang aku ni untuk
 touch up.... Untung juga dia tinggi. Tapi jenuh juga nak mengejut bangun...
      Tapi sehari dua ni.. memang aku rasa segar untuk buat kerja kerja rumah dan  sebegini.. Agaknya sebab aku makan supplimen di atas kot.. dulu memang aku dah makan... kemudian berhenti. Tapi tak tahu laa.. sebab aku ni suka telan serba manika.. yang orang kata baik untuk badan.. Apa apa laa janji badan sihat.

Isnin, 12 November 2012

Makan Kenduri di KL...



  Tarikh 10hb November 2012...baru ni, aku dan keluarga, berkesempatan 'lari' kejap ke Kuala Lumpur.... menghadiri majlis perkahwinan anak Kak Mimah dan abang Yahil.. keluarga sebelah suamiku...di dewan MPAJ. Bila sampai di sana, setelah pusing pusing tersesat... baru aku perasan..tempatnya tak jauh dengan rumah Kak Cik Seroja...( maaf, Kak Cik tak sempat singgah rumah Kak Cik..sebab kami 'lari' balik ke Ipoh malam tu juga..kerana esuknya ada kenduri lagi di Ipoh...

Pengantin bersama keluarga..
 Aku memang terpesona dengan rona warna yang dipilih...purple..dan pengantin memilih cream...cantik sekali dan begitu kena....
 Bila kenduri yang seronoknya..jadi pertemuan dengan sedara mara yang jarang jarang ditemui.. Antaranya Shimah yang juga rakan sekuliah aku di ITM dulu...sama sama ikut kursus Art and design. Bila kahwin baru aku tahu...Shimah dah jadi pangkat mak sedara aku...hehehe
Bersama pengantin perempuan..Rashidah.

Pengantin lama...hahaha yang kian membesar..
Abang Yalil bersama my suami....
 Kenduri kahwin kali ni..ada majlis perkahwinan anak kedua abang Yahil dan Kak Mimah.. Anak arwah Mak Yang. ( Simpang galurnya jangan ditanya sebab aku sendiri tak tahu...heheh . Yang aku tahu mereka antara yang rapat dan kerap berkunjung bila ada kenduri kendara di Bota )
Mak Cik berposing kejap...hehehhe

Razi dan kecik..

 Kami sempat singgah di UIAM..ambil Razi sama. Pengalaman pertama ayahnya ke sana begitu juga si kecik...
 Perjalanan dah menjadi senang sejak si anak muda ni ada lesen... aku jadi 'mem besar' je duduk di belakang....
Jumpa Mak cik Anian...yang dah duduk dengan anaknya di Subang Jaya...

Aku suka gambar ni... hehehe nampak kurus sikt...hahahhaha
Paling aku tak sangka, jumpa Miah yang juga anak  sepupuku. Miah baru saja kehilangan bapa minggu sudah...Abang Mat Ariff yang juga sepupu aku.( umor 75 th) Bila aku kahwin .. baru aku tahu..aku juga bakal bersedara dengan sebelah mertua Miah yang juga orang Bota...What a small world...hehh
Emak mertua dan my suami.


 Turut hadir kat majlis perkahwinan tu.. adalah emak mertuaku... dan kakaknya Mak we Rihan..
Dan malam tu mereka bermalam di Pandan Indah, kerana esuknya menghantar pengantin ke negeri Sembilan..  Kami balik ke Ipoh, selepas berehat kejap di rumah abang sepupu di Pandan Indah....dan malangnya jem di lebuh raya...hampir pukul 12.oo malam baru sampai Ipoh.... penatnya hanya Allah yang tahu....

Rabu, 31 Oktober 2012

Majlis Qurban...Keluarga Haji Saad.

     Alhamdulillah... Impian untuk membuat ibadat qurban tahun ini terlaksana sudah. Berkongsi dengan adik beradik ku yang lain, Kak Ani, Kak Pidah, Kak Kiah, Ram dan Azhar termasuk emak... Hari raya Qurban yang pertama.. tumbanglah seekor lembu.
      Dengan kerjasama kariah masjid Matang...gotong royong melapah dilakukan dengan sempurna.
Yazid dengan anaknya Najib sedang melapah daging
Yazid, adik ipar aku antara pengerak utama majlis ini. Dari mencari lembu hinggalah ke majlis kenduri kendara....
Kerja melapah daging dan mengagihkan daging banyak dibantu oleh kariah masjid. Hari raya pertama sahaja 5 ekor lembu dikorbankan. Lepas sembahyang raya 3 ekor, dan 2 ekor lagi lepas sembahyang Jumaat. Lembu kami disembelih sebelah petang.
Kak Pidah, Adik Ram dan anak aku Faiz....

Adik Azhar dan anak sedaraku Angah Adib, anak Kak Pidah.

Kak Pidah, Kak Kiah dan Kak Biah...sepupu kami yang paling rapat.

Adik Beradik aku yang sama sama berkongsi korban..
Kami datang tengok je...heheh sebab lepas ni masing masing kena menyinsing lengan, untuk majlis kenduri dan tahlil untuk esuk harinya.... Dan alhamdullillah.. majlis kenduri pun selesai dengan sempurna. Insyaallah.. kalau tak ada aral, mungkin akan berlangsung lagi...

Rabu, 10 Oktober 2012

Faiz ambil PMR

    9 hb Oktober 2012...Faiz dan semula calon PMR seluroh Malaysia menduduki , peperiksaan....Alhamdullillah walaupun Faiz tak ke sekolah hampir 2 bulan..tapi dia nampaknya berkeyakinan untuk ambil exam. Aku tak mengharapkan apa apa..cuma memandai kalau dia lulus dalam exam...itupun aku dah cukup bersyukur dan redha...

Ahad, 16 September 2012

Mencari Lembu...

     Hari ini selesai misi mencari lembu..... Setelah sepakat dengan adik dan kakak, hari ini aku balik kampung. Aku tumpang Kak Pidah saja, yang kebetulan ada reunion sekolahnya di Ipoh. Malam tadi, kami terus balik ke kampong.. pukul 1.15 malam sampai. Abah dan emak dah tidor, nasib abang Aziz aku yang ada di kampong belum tidor.

    Sebenarnya... aku dah lama berhajat nak buat korban di kampong. Dan hasrat ku disambut baik oleh adik beradik aku yang lain... Selama ni, aku join korban, warga sekolah saja.. Lepas raya hari tu, kami dah mulakan perbincangan untuk berkongsi dan mencari lembu..( ikut facebook je...hehehhe) dan hari ni kami bersetuju untuk pergi meninjau lembu yang dihajat...

    Sebelum pergi, aku ingat, lembu yang nak kami tengok ada dalam kandang.. macam lembu lembu yang pernah kami bela dulu.... rupanya lembu lembu lepas bebas dalam kebun ...tunggu punya tunggu, akhirnya kami di bawa ke satu tempat lain... tempat tak berkandang juga...!!!!

   Perjalanan melalui lorong sempit bertar,  tapi agak lecah di kiri kanan... habis kereta adik dan kak pidah berselut. Kemudian baru aku teringat, kawasan tu dulu, masa kecilku, kawasan sawah padi.. rupanya, jalan tersebut tembus ke jalan Trong. Kami dibawa ke satu kawasan...macam kebun getah tapi semaknya... macam tak bertuan..( tapi getahnya macam bertoreh) dan sampai ke satu kawasan tanah wakaf....  rupanya  lembu yang kami nak cari tu memang melepak kat tanah wakaf....tanpa kandang...

      Mulanya berat juga hati nak melangkah masuk ke tanah wakaf.... tapi bila tengok lembu dah berbaris...( lembu diumpan dengan air garam oleh tuannya ) jadi mudahlah kami memilih...Lucu juga rasanya memilih lembu di celah celah barisan batu nisan.... tapi nak buat camana..itu je caranya. Akhirnya kami memilih seekor yang harganya agak reasonable..

     Tengahari tadi, aku ikut kak Pidah balik... kami balik awal, sebab Kak Pidah nak pergi kenduri kahwin... tapi sempat laa makan nasi... Cuma yang aku perasan, sejak balik tadi, badan aku rasa macam tak sedap je.. lengoh sebelah badan...dan sekarang pun aku sedang mendengar ayat ayat rukyah....