Ahad, 23 Disember 2012

Blog Adik Ipar...

Nak minta rakan rakan blogger tolong pakat pakat join, blog adik ipar saya ni...

http://www.zubaidahsksb.blogspot.com 
Blog ni ada markah sebahagian dari assignment, untuk lulus salah satu subjek yang diikuti...

Di dahulukan dengan terima kasih... tak susah join je..

Khamis, 20 Disember 2012

Result PMR Faiz...





      Semalam result PMR diumumkan..... Dan semalam anak ku Faiz juga menerima resultnya....
Memang aku tak menaruh harapan tinggi...kerana aku harus faham situasi Faiz sepanjang persekolahan yang lalu. Cuma tiga minggu sebelum PMR je masuk sekolah balik... dalam erti kata lain dia tak sekolah hampir 5 bulan..
     Memang mengejutkan... Faiz dapat 1 B - Bahasa Inggeris, dan 3 C - BM, Matematik dan Sejarah. Yang Lain D kecuali KH dapat E...itu pun aku yakin sebab tak hantar kerja kursus.Berkali -kali aku beritahu Faiz, kalau dia betul betul ikut pengajaran guru sepanjang tahun persekolahan tentu dia boleh dapat lebih bagus...... Dan aku begitu berharap dia tak mengulangi kesilapan bila di tingkatan 4 dan 5. seterusnya ambil SPM. Malah aku nak kalau boleh Faiz buktikan dia juga boleh jadi pelajar cemerlang...macam abangnya Razi. kerana aku yakin, dia sebenarnya boleh....
Kepada Allah SWT. aku panjatkan doa semoga anak anak aku ditetapkan hati...untuk terus berjaya mendapat ilmu dunia dan akhirat dan berjaya dalam mencari arah hidup....Amin.

Khamis, 29 November 2012

Selesai sudah ..PSV / spm 2012..

latihan sebelum mengajar.
     Hari ni berakhir sudah kertas PSV Seni halus kertas 2 SPM..untuk tahun ni...Petang tadi pelajar pelajar yang menjadi calun, telah selamat menduduk peperiksaan.... Sekolah aku, ada 5 orang tak hadir... Lantak laa malas aku nak contak parents mereka, kerana aku tahu, memang sengaja mereka tak mahu datang..  Yang datang pun..ramai yang keluar sebelum satu jam pertama...dari 3 jam diberi... aku yang jadi guru bertugas, menahan sakit hati je... nak dimarah macamana..itu pilihan mereka....
contoh untuk pelajar
 Aku sendiri yang jadi cikgu beria ia berlatih, menyediakan contoh untuk pelajar... malangnya ada pelajar pelajar ni haram tak kisah langsung...bagi mereka dunia belum kiamat walau tak buat pun...
 Setelah mencuba beberapa kali, aku dapati soalan burung ni..jauh lebih mudah berbanding soalan lain.. tapi ada pelajar haram tak kisah. bila diberitahu. Dua tiga orang pelajar yang ikut nasihat aku, nampaknya selamat masa peperiksaan tadi... Melukis burung hanya memerlukan teknik lukisan, Ada tiga ekor burung ni... soalan dah terjawab..
 Mulanya aku galakkan mereka buat air terjun ni...soalan no 2. Tapi pelajar pelajar pula kurang mahir bermain warna akan menghadapi masalah... Walaubagaimana pun ada seorang pelajar aku yang pilih soalan ni.. dan aku cukup berpuas hati...Inilah bukti kalau pelajar ikut kelas aku last minit pun...pasti boleh buat masa exam...
 Masalahnya...cikgu yang syok sendiri.. Hari pertama aku buat kelas ada dalam 10 orang aje yang datang.. yang betul betul lukis adalah 3 , 4 orang... yang lain hanya suka suka dema...Sampai hari terakhir,,, adalah 2 orang yang betul setia..dan aku berani jamin ada potensi A.
Nak bahan rujukan sebenarnya banyak,,,ini dari facebook.

 Sebenarnya banyak bahan rujukan yang boleh diperolehi dari internet.. malangnya ada pelajar tiru
bulat bulat... pelajar harapan aku pulak tu..

Contohnya lukisan di atas... ini karya seorang guru dalam facebook. Bayangkan kalau satu Malaysia tiru lukisan ni... untuk jadi bahan rujukan. masam juga laa pelajar tu bila aku tegur..Bahan rujukan bukan untuk ditiru tapi untuk menjana ide...
Ada juga pelajar yang pilih soalan jerat tengkok sendiri...Misalnya soalan 1. Aku memang tak galak pelajar buat...banyak elemen kena mahir.. Soalan satu berbentuk fantasi.... bawah dasar laut. .sejenis makluk separuh manusia separuh haiwan ..menjalankan aktivit..Bunyinya memang menarik... tapi nak main warna dan nak lukis bukan mudah...

Apa apa pun...aku sentiasa mendoakan pelajar pelajar ku keputusan yang terbaik....walaupun aku tahu peratus matapelajaran PSV akan jatuh teruk tahun depan.....Memang aku tak pernah bermimpi seratus peratus....jangan kan dalam jaga..dalam tidur pun tak mungkin...hehehhe

Jumaat, 23 November 2012

ULANGTAHUN PERKAHWINAN KE 21..23.11.2012

Hari ini perkahwinanku masuk tahun ke 21....
Terima kasih buat suamiku, yang menjadi teman paling rapat pernah aku ada.
Teman berkongsi susah dan  senang
teman berkongsi suka dan duka
teman bergurau dan bertengkar..( heheh..)
teman untuk segalanya...
Moga kita kekal untuk selamanya...selagi hayat ada...

Rabu, 21 November 2012

Ahli baru...AJD 557


 Memang dah lama aku berhajat nak memilik kenderaan yang baru... Memandangkan kereta yang aku guna sekarang semuanya dah berusia..Hondaku dah berusia 20 th lebih.. dan rusa ku pula dah berusia 16 tahun... untuk bergerak jauh seperti Kuala Lumpur.. selalunya aku harus bertawakal..supaya tidak meragam dijalanan...
 Setelah beberapa kali dipujuk dek budak sorang ni.. akhirnya aku teruskan hajatku ini... Idea  awalnya dialah yang nak kumpul duit untuk bayar deposit ..( kerja kat cyber cafe ) tapi memandangkan ada rezeki lebih sikit di hujung tahun ni...aku setuju nak bayar dulu duit muka.
tapi syaratnya tiap tiap bulan kami kongsi bayar separuh separuh....
 Aku buat begini bukan kerana aku manjakan anak.. tapi aku nak bagi dia tanggungjawab setiap bulan bayar duit kereta... walaupun separuh dari jumlah sebenar..
 Memang yang paling seronok ..budak inilaa...heheh macamlaa aku beli kereta ni untuk dia sorang.
Tapi dia pun dah jadi macam driver aku ke mana saja aku nak pergi.. seronok ajak dia.
 Seronoknya kereta baru aku ni..ada Navi...heheh...sorrilahh aku ni memang agak ketinggalan. Kereta lama aku memang tak ada semua ni...sian kan aku... itupun aku tak ambil yang auto. Walaupun orang kata senang.. bila aku tengok tak ada gear dan clutch..aku rasa fobia...hahahaha 
Old fashion aku kan...
 Wajah berposing dalam kereta..
Budak ni menyengeh tak habis...sampai ke malam... Moga satu hari nanti dia akan faham betapa susahnya untuk memiliki semua ini....
kalau tak ada kerja..tak ada duit... dan tak ada usaha....

Khamis, 15 November 2012

Projek cuti sekolah..

     Cuti sekolah dah mula... Sebenarnya banyak lagi kerja sekolah yang belum aku settle... tapi sehari dua ni relaks dulu laa... hahahha. Aku ambil peluang lepas geram mengecat rurumah... Dah lama juga tak berubah wajah rumah aku ni... Kederat pun bukan ada sangat dah... tapi dek kerana teringin sangat melepas geram... dapat laa juga aku teruskan niat murni aku ni....
 Yang sebelah atas... tak mampu lah aku nak memanjat.. jadi minta anak bujang aku ni untuk
 touch up.... Untung juga dia tinggi. Tapi jenuh juga nak mengejut bangun...
      Tapi sehari dua ni.. memang aku rasa segar untuk buat kerja kerja rumah dan  sebegini.. Agaknya sebab aku makan supplimen di atas kot.. dulu memang aku dah makan... kemudian berhenti. Tapi tak tahu laa.. sebab aku ni suka telan serba manika.. yang orang kata baik untuk badan.. Apa apa laa janji badan sihat.

Isnin, 12 November 2012

Makan Kenduri di KL...



  Tarikh 10hb November 2012...baru ni, aku dan keluarga, berkesempatan 'lari' kejap ke Kuala Lumpur.... menghadiri majlis perkahwinan anak Kak Mimah dan abang Yahil.. keluarga sebelah suamiku...di dewan MPAJ. Bila sampai di sana, setelah pusing pusing tersesat... baru aku perasan..tempatnya tak jauh dengan rumah Kak Cik Seroja...( maaf, Kak Cik tak sempat singgah rumah Kak Cik..sebab kami 'lari' balik ke Ipoh malam tu juga..kerana esuknya ada kenduri lagi di Ipoh...

Pengantin bersama keluarga..
 Aku memang terpesona dengan rona warna yang dipilih...purple..dan pengantin memilih cream...cantik sekali dan begitu kena....
 Bila kenduri yang seronoknya..jadi pertemuan dengan sedara mara yang jarang jarang ditemui.. Antaranya Shimah yang juga rakan sekuliah aku di ITM dulu...sama sama ikut kursus Art and design. Bila kahwin baru aku tahu...Shimah dah jadi pangkat mak sedara aku...hehehe
Bersama pengantin perempuan..Rashidah.

Pengantin lama...hahaha yang kian membesar..
Abang Yalil bersama my suami....
 Kenduri kahwin kali ni..ada majlis perkahwinan anak kedua abang Yahil dan Kak Mimah.. Anak arwah Mak Yang. ( Simpang galurnya jangan ditanya sebab aku sendiri tak tahu...heheh . Yang aku tahu mereka antara yang rapat dan kerap berkunjung bila ada kenduri kendara di Bota )
Mak Cik berposing kejap...hehehhe

Razi dan kecik..

 Kami sempat singgah di UIAM..ambil Razi sama. Pengalaman pertama ayahnya ke sana begitu juga si kecik...
 Perjalanan dah menjadi senang sejak si anak muda ni ada lesen... aku jadi 'mem besar' je duduk di belakang....
Jumpa Mak cik Anian...yang dah duduk dengan anaknya di Subang Jaya...

Aku suka gambar ni... hehehe nampak kurus sikt...hahahhaha
Paling aku tak sangka, jumpa Miah yang juga anak  sepupuku. Miah baru saja kehilangan bapa minggu sudah...Abang Mat Ariff yang juga sepupu aku.( umor 75 th) Bila aku kahwin .. baru aku tahu..aku juga bakal bersedara dengan sebelah mertua Miah yang juga orang Bota...What a small world...hehh
Emak mertua dan my suami.


 Turut hadir kat majlis perkahwinan tu.. adalah emak mertuaku... dan kakaknya Mak we Rihan..
Dan malam tu mereka bermalam di Pandan Indah, kerana esuknya menghantar pengantin ke negeri Sembilan..  Kami balik ke Ipoh, selepas berehat kejap di rumah abang sepupu di Pandan Indah....dan malangnya jem di lebuh raya...hampir pukul 12.oo malam baru sampai Ipoh.... penatnya hanya Allah yang tahu....

Rabu, 31 Oktober 2012

Majlis Qurban...Keluarga Haji Saad.

     Alhamdulillah... Impian untuk membuat ibadat qurban tahun ini terlaksana sudah. Berkongsi dengan adik beradik ku yang lain, Kak Ani, Kak Pidah, Kak Kiah, Ram dan Azhar termasuk emak... Hari raya Qurban yang pertama.. tumbanglah seekor lembu.
      Dengan kerjasama kariah masjid Matang...gotong royong melapah dilakukan dengan sempurna.
Yazid dengan anaknya Najib sedang melapah daging
Yazid, adik ipar aku antara pengerak utama majlis ini. Dari mencari lembu hinggalah ke majlis kenduri kendara....
Kerja melapah daging dan mengagihkan daging banyak dibantu oleh kariah masjid. Hari raya pertama sahaja 5 ekor lembu dikorbankan. Lepas sembahyang raya 3 ekor, dan 2 ekor lagi lepas sembahyang Jumaat. Lembu kami disembelih sebelah petang.
Kak Pidah, Adik Ram dan anak aku Faiz....

Adik Azhar dan anak sedaraku Angah Adib, anak Kak Pidah.

Kak Pidah, Kak Kiah dan Kak Biah...sepupu kami yang paling rapat.

Adik Beradik aku yang sama sama berkongsi korban..
Kami datang tengok je...heheh sebab lepas ni masing masing kena menyinsing lengan, untuk majlis kenduri dan tahlil untuk esuk harinya.... Dan alhamdullillah.. majlis kenduri pun selesai dengan sempurna. Insyaallah.. kalau tak ada aral, mungkin akan berlangsung lagi...

Rabu, 10 Oktober 2012

Faiz ambil PMR

    9 hb Oktober 2012...Faiz dan semula calon PMR seluroh Malaysia menduduki , peperiksaan....Alhamdullillah walaupun Faiz tak ke sekolah hampir 2 bulan..tapi dia nampaknya berkeyakinan untuk ambil exam. Aku tak mengharapkan apa apa..cuma memandai kalau dia lulus dalam exam...itupun aku dah cukup bersyukur dan redha...

Ahad, 16 September 2012

Mencari Lembu...

     Hari ini selesai misi mencari lembu..... Setelah sepakat dengan adik dan kakak, hari ini aku balik kampung. Aku tumpang Kak Pidah saja, yang kebetulan ada reunion sekolahnya di Ipoh. Malam tadi, kami terus balik ke kampong.. pukul 1.15 malam sampai. Abah dan emak dah tidor, nasib abang Aziz aku yang ada di kampong belum tidor.

    Sebenarnya... aku dah lama berhajat nak buat korban di kampong. Dan hasrat ku disambut baik oleh adik beradik aku yang lain... Selama ni, aku join korban, warga sekolah saja.. Lepas raya hari tu, kami dah mulakan perbincangan untuk berkongsi dan mencari lembu..( ikut facebook je...hehehhe) dan hari ni kami bersetuju untuk pergi meninjau lembu yang dihajat...

    Sebelum pergi, aku ingat, lembu yang nak kami tengok ada dalam kandang.. macam lembu lembu yang pernah kami bela dulu.... rupanya lembu lembu lepas bebas dalam kebun ...tunggu punya tunggu, akhirnya kami di bawa ke satu tempat lain... tempat tak berkandang juga...!!!!

   Perjalanan melalui lorong sempit bertar,  tapi agak lecah di kiri kanan... habis kereta adik dan kak pidah berselut. Kemudian baru aku teringat, kawasan tu dulu, masa kecilku, kawasan sawah padi.. rupanya, jalan tersebut tembus ke jalan Trong. Kami dibawa ke satu kawasan...macam kebun getah tapi semaknya... macam tak bertuan..( tapi getahnya macam bertoreh) dan sampai ke satu kawasan tanah wakaf....  rupanya  lembu yang kami nak cari tu memang melepak kat tanah wakaf....tanpa kandang...

      Mulanya berat juga hati nak melangkah masuk ke tanah wakaf.... tapi bila tengok lembu dah berbaris...( lembu diumpan dengan air garam oleh tuannya ) jadi mudahlah kami memilih...Lucu juga rasanya memilih lembu di celah celah barisan batu nisan.... tapi nak buat camana..itu je caranya. Akhirnya kami memilih seekor yang harganya agak reasonable..

     Tengahari tadi, aku ikut kak Pidah balik... kami balik awal, sebab Kak Pidah nak pergi kenduri kahwin... tapi sempat laa makan nasi... Cuma yang aku perasan, sejak balik tadi, badan aku rasa macam tak sedap je.. lengoh sebelah badan...dan sekarang pun aku sedang mendengar ayat ayat rukyah....


Selasa, 11 September 2012

Dah mula malas laa tu..

Dah lama tak update entri dalam blog... dah mula malas laa tu.


Maaflaa rakan rakan blogger... dah mulai merasai tak ada cerita menarik untuk dikongsi bersama...
Insyaallah ada yang menarik.. akan ku tulis lagi...

Ahad, 19 Ogos 2012

Selamat Hari Raya 2012

    Selamat Hari Raya 2012...Maaf Zahir Batin. Tahun ni aku sekeluarga beraya di Matang....
Dan untuk sekian kalinya...baru dapat ambil gambar sekeluarga. Kalau tidak jangan nak harap...
 Seronok dapat beraya dengan emak... dan aku akui..aku beruntung kerana masih  ada emak yang boleh di peluk cium di pagi raya... Masa ni, abah masih belum balik dari masjid...tak sempat bergambar dengannya...

 Anak teruna aku..Fakrul Razi, dengan gaya rambut ala Hafiz...
minggu depan, rambut ni akan dikorbankan... kerana dia nak mendaftar masuk ke UIAM Gombak...
 Fauzan Hakim... sehari dua ni, happy jadi driver aku...
 Faiz Bukhari dan Farizh Haiqal....gambar sehari sebelum raya.
Farizh Haiqal @ Kecik...berposing di pagi raya...

Sebenarnya aku juga nak minta maaf ... kerana akhir akhir ini aku dah kian malas nak menulis dalam blog aku ini. alhamdullillah... sebelum balik raya, aku jumpa balik charger kamera....hehehe baru dapat ambil gambar....
Insyaallah... kalau ada peluang aku akan terus menulis...

Sabtu, 21 Julai 2012

Salam Ramdhan

Masa begitu pantas... hari ini dah berlalu 1 ramdhan....  Salam untuk semua pembaca blog saya yang tak seberapa ini... Maaf dari segala keterlanjuran kata dan tulisan... Moga Ramdhan ini penuh berkat ...AMIN....

Ahad, 15 Julai 2012

Alhamdullillah.....

 Semalam seharian di sekolah kerana ada event Hari Ko kurikulum....Kalau ikut senarai tugas, kerja aku cuma jadi tukang bancuh air untuk minum petang pelajar pelajar perkemahan.... tapi di luar senarai...aku ditugaskan melaksanakan  pameran untuk bidang kemanusiaan....

     Alhamdullillah... aku ramai kenalan dalam bidang aku sendiri, terutama bidang seni lukis...Mulanya aku ingat nak jemput pembuat seramik yang pernah berkerjasama dengan aku tahun lepas di sek raja chulan.... tapi memandangkan tempat pameran di dalam kelas ...aku agak tawar hati, sebab bermain tanah liat mesti tak dapat lari dengan debu tanah yang halus dan sukar dibersihkan.... Jadi aku kontak president Persatuan pelukis Negeri Perak...Hamidon... Malangnya Hamidon, tak dapat hadir kerana ada urusan lain.... dan pilihan kedua aku adalah Ngadawiah.... atau aku panggil Gee.

      Gee adalah pelukis wanita muda yang begitu komited di Ipoh ni...syukur bila aku jemput dia tak menolak. ... Itulah hikmahnya bila selama ini,  ,..aku tak pernah menolak....bila aku diajak mereka untuk menjayakan event mereka.

      Bila aku bagi tahu Guru Ketua Bidang... aku berjaya menjemput pelukis, dia ternyata gembira. Tapi.... dia minta aku carikan pula... orang yang pandai demo untuk seni Khat.... Kebetulan pula aku kenal seseorang yang selalu buat demo tulisan Khat.... dan tinggal dekat pula dengan sekolah.... permintaan itu mudah saja bagi aku... dan  rezeki aku baik...ustaz tersebut menerima dengan senang hati...alhamdullillah....
Jadi....untuk hari Ko ko... aku berjaya bawa dua pelukis..seorang pelukis potret dan seorang lagi pelukis seni Khat.....

     Pada hari berlangsung.... bilik pameran ,,begitu dapat sambutan... terutama untuk sessi melukis potret....
Gee bagi harga special price untuk hari tu... berduyun budak berbaris untuk dilukiskan.....Gee pulak begitu sabar melayan kerenah budak budak.... hingga ke petang...dia masih melukis padahal sepatutnya sampai tengahari saja....bayangkan 20 orang lebih minta dilukiskan potret ...

      Tulisan khat kurang sambutan dari pelajar... tapi dari guru guru aku perhatikan ramai juga yang berminat... terutama bila ustaz mula menulis nama aku dan anak anak serta suami dengan tulisan yang begitu cantik......malangnya aku tak bawa kamera.....

Sebelah malam pula ada jamuan keluarga.... makan makan buah durian, manggis, rambutan... serta panggang ayam......tapi aku dah keletihan... makan pun sekadar nya saja... Yang aku kagum... rupanya cikgu cikgu seri ampang ni... sporting bila bab kareoke.... dan baru aku tahu, salah seorang guru sekolah ini adalah ibu perserta AF musim ke8 ..Shidee.. Malam tu ayah dan adiknya turut sama menyanyi... Aku...???? sebenarnya teringin juga men .sumbang kan suara.... tapi terasa malu sebab ada bekas guru yang juga jiran aku hadir sama.....hahhahahhahah kalau tidak apa salahnya yer.....sesekali melepaskan tension..

    Aku balik rumah sebelum acara berakhir...sebab dah mengantuk...
Balik rumah.... aku dapat berita gembira......Razi dapat menyambung ke peringkat ijazah di UIA bidang kejuruteraan...Alhamdullillah......hilang penat aku seharian.......

Allah Maha Pengasih...Allah Maha Penyayang....

Jumaat, 6 Julai 2012

Peperangan bermula...

    Kebelakangan ni, aku dah jarang jarang menulis... bukan sekadar masa yang mencemburui, tapi internet kat rumah pun dah mula meragam ...Mulanya aku ingat aku tak bayar bil kat Telekom....tapi lupa pula aku bayar auto pay guna kad kredit... hehehe...Entah apa silapnya, lepas Faiz buat operasi check semua kabel....akhirnya baru dapat kembali line internet....


      Dan masa pun begitu terbatas sekali... Balik sekolah bawa suami ke hospital...lewat pukul 5 baru balik ke rumah...dengan badan yang dah begitu letih... Dah tu pegang mesin jahit pulak, tolong jahitkan beg untuk kerja kursus tingkatan 5...  Rumah pun dah macam tongkang pecah....hahhaahhhah. jangan mak mertua datang udahle.... terkejut beruk dia nanti. Nasiblah semua di rumah hanya orang lelaki.....kalau ada anak dara, mungkin dah ringan sikit beban kerja ni....


       Dalam dua minggu ni..terasa stress benar....kerja kursus pelajar sepatutnya dah dikumpul. ..tapi setakat ni masih belum boleh dilakukan. Aku bagi dateline minggu depan......Kalau ikut tension memang tension.... budak budak buat tak kisah saja.... ada yang tak nak buat langsong..  memang mati akal dibuatnya. Udah tu, kelas mereka.... umpama seberang pulau.... dengan bilik seni .. nak dilaung tak boleh nak dikejar tak dapat.....  Bila time kelas seni... ada yang timbul ada yang tenggelam tak timbul timbul......entah laaa.... memang kacau jiwa dibuatnya...

    Dan siang tadi aku kena buat post mortem peperiksaan pertengahan tahun.....hanya  25  peratus lulus...pertama kali dalam rekod aku mengajar...  Masa mesyuarat kurikulum , nasib baik PK 1 tak tanya kenapa result teruk sangat..... Kalau tidak aku akan jawab... inilah realiti, subjek ini pun sekadar perlukan budak yang ada otak juga.... tapi attitude mesti juga baik.... Kalau nak bawa colour pun tak nak... nak beli berus pun tak mahu... semua nak harapkan cikgu... inilah hasilnya.... semua nak disubsidi... nak di beri free....
     Sebenarnya aku kena cari strategi...... tapi buat masa ni, aku masih bingong lagi memikirkannya..... bukan apa, setakat ini aku nak bawa badan naik ke bilik seni yang di tingkat dua pun dah menyakitkan hati.... inikan pula nak suruh budak budak tu enjoy datang ke sana...

    apa apa pun buat masa ni, aku cuma berserah...... apa apa pun tunggu minggu depan , tengok respon yang hantar kerja kursus....

Rabu, 27 Jun 2012

Catatan Mengisi masa...

   Hari ni aku ambil cuti rehat, bawa suami ke hospital untuk appointment dengan doktor...ertinya dah sebulan sejak dia keluar hospital hari tu..Dan hari ni.. MC My suami bersambung lagi sehingga 26 julai..
Sebenarnya bukan hari ni saja . aku bawa dia ke hospital...hampir setiap hari, kecuali sehari dua bila ada meeting di sekolah yang lanjut sampai ke pukul 3...

     Letih memang letih.... balik sekolah terus ke hospital.. kadang-kadang tertidur di bangku menunggu di luar bilik dressing sementara tunggu luka di kaki suami dicuci... memang sedap pun tertidur, dengan dinginnya aircont di panas terik ....hahahhaha.Cuma kadang kadang kesian dengan si kecik yang begitu setia menemani ayahnya... walaupun baru balik sekolah.
Si Faiz ..sehari dua ni dah mula kerja di cyber cafe tempat Razi bekerja..... Bukan aku tak mahu dia bersekolah.... tapi aku tak mahu paksa dia kalau dia belum bersedia... setakat ni alhamdullillah, tak ada masalah pula untuk dia ke tempat kerja... sekurang-kurangnya dia dapat pengalaman bekerja.

   Kerja di sekolah ..kian hari kian banyak.... Penghujung bulan Jun ni bererti aku kena berperang dengan pelajar pelajar tingkat 5 untuk menyiapkan kerja kursus...... Tahun ni, aku nak bertawakal dengan Allah je...sebab aku sedar, kelompok pelajar yang aku terima bukan calang-calang " malas dan liat "....kalau anak bangsa M dan I....aku rasa mampu lagi aku tangani....tapi kalau anak bangsa C....mati akal aku dibuatnya....
datang ke kelas hanya untuk buat onar dan bising.... kerja langsung tak mahu buat.

    Apa yang boleh aku buat... lukiskan apa yang perlu dan suruh mereka tekap di meja cermin lampu.... pensil pinjam dari aku.... pensil warna pun pinjam dari bilik seni....( kian hari kian hilang...dikebas mereka )..inilah realitinya . Tak buat begini kerja tak siap.

   Dan tugas sampingan aku hari ni.... menjahit beg untuk kerja kursus mereka. Kalau aku tak jahit... mereka biarkan saja, kain tu tak berjahit...... pening kepala dibuatnya.

Pelajar berpotensi...??? aku tak nampak sorang pun... Yang rajin ada sorang dua... tapi tak nampak gaya cemerlang..... aduhhhh....

Sabtu ni sukan..... siapalaa yang pandai mencadangkan sukan diadakan di tengah tahun.... sampai sekarang aku menyumpah tak habis..... waktu ini guru guru sepatutnya tumpu pada kerja kursus dan peperiksaan... dah kena buat banner sukan...hiasan rumah... latih budak... budak budak pun kesian juga.. berkawan di panas terik. balik dah letih. bila nak belajar.  Nasib baik hujan dah mula turun.... adalaa sejuk sikit.

Tahun ini nasibnya ... aku datang ke sekolah baru.... orang nampak aku guru  yang lemah tak larat usung diri sendiri....hahhahahh tapi menyelamatkan aku dari kerja kerja berat...seperti aku lakukan di sekolah lama...kalau tidak saat ini pastinya aku sebok menghias kemah untuk vip....
Tahun ni... aku pun tak pasti apa tugas aku..... sukantara dan pra sukan... nama aku tak ada tersenarai untuk bertugas...hehehehee.... bukan aku tak check tengok... nama tak ada ...lebih baik buat diam je....hahahhahha

     Apa apa pun tugas membuat banner untuk rumah sukan aku dah hampir siap... hari ini pasti cikgu rumah tu suspen.. sebab dia tak nampak aku...aku cuti. Tapi esuk aku akan pastikan ianya siap....insyaallah....

Cuma apa yang aku tak pasti... adakah aku bahagia di sekolah aku sekarang...... jauh di sudut hati aku rasa nak minta tukar aje......


Jumaat, 8 Jun 2012

Terima Kasih anak anak.....

 Minggu ini dah masuk minggu kedua suamiku balik ke rumah selepas beberapa hari bermalam di hospital... dan ertinya dah hampir dua minggu kami berulang alik ke hospital untuk rawatan dressing kerana luka pada kaki My suami.

    Tapi alhamdullillah... setakat ini aku dibantu anak anak...maka ringan laa sikit beban yang terpaksa aku tanggung. Si Hakim yang dah ada lesen ...dah boleh bawa van menggantikan tempat aku jadi pemandu.....Dengan kederat aku yang tak seberapa ni.. bawa van pun dah boleh sakit satu badan....padahal itulaah kenderaan satu satu nya yang aku ada dulu...

    Sebelah malam ...selalunya si faiz yang suka berjaga malam...yang sering diminta tolong oleh si ayah...Orang yang ada kencing manis ni sering nak kecing... kalau tengah tidor dikejut..mau pening juga kepala.

     Dan untuk waktu waktu sebegini..selalunya si Kecik la yang jadi pembantu...tolak si ayah ke bilik air..tolong ambil bekas air kecing ayahnya.. tolong tuang air minum...

    Si Razi yang dah kerja... kalau aku minta tolong, dia pun tak banyak kira... cuma kadang kadang aku kesian juga dengan dia.. bila balik, selalu dah tertidur di depan kerusi..

    Itulah anak anak... baik buruk hanya kita yang tahu... biar orang cela dan kata... aku tahu apa kelebihan mereka...

Khamis, 31 Mei 2012

Inilah percutian ku.....

     Sudah 3 malam , My suam balik ke rumah.... Walaupun terpaksa berkerusi roda, aku tetap bersyukur semuanya selamat.. Namun, tak dinafikan banyak rutin baru yang terpaksa dilakukan...dan banyak juga aktiviti masa cuti ini yang tak dapat aku lakukan.... 
     Perkara pertama yang terpaksa aku lakukan ialah mengubah beberapa perabot untuk memudahkan pergerakkan kerusi roda ke tandas dan keluar rumah. Mulanya aku bercadang nak pecahkan dinding buat satu lagi pintu tembus ke tandas dari dalam bilik.. tapi ternyata My suami  lebih suka duduk di ruang tamu berdepan dengan tv dan kami semua... sebenarnya rumah aku ni, ruang tamunya bersambung terus dengan ruang makan dan dapur...jadi ianya jadi lebih mudah untuk diurus.

    Sebelum balik dulu, My suami cukup risau tentang ke tandas... tapi ternyata bila dia balik keadaan tidaklah sesusah yang difikirkan..Malah tugas menolak dia ke bilik air boleh dilakukan oleh si Kecik dengan mudah.. cuma yang aku kesian, bila My suami nak bangun dari katil ke kerusi roda...memang sungguh sukar...jenuh berpaut pada tongkat baru boleh bangun.. pun kadang-kadang perlu dibantu oleh si Faiz dan si Hakim....

      Dan rutin baru yang terpaksa aku lakukan juga ialah membawa My suami pergi mencuci luka pada kaki sebelah kanan . Ini perlu dilakukan kerana My suami pengidap diabetis.. yang perlu diberi perhatian setiap hari supaya lukanya tidak bertambah besar. Nasib baik juga sekarang ini time cuti sekolah... kalau buka sekolah nanti keadaan tentu jadi kelam kabut ...sebab lepas sekolah aku kena terus bawa my suami ke hospital..

     Dan paling aku rasa lega...kerana buat masa ini...Faiz masih lagi belum aku daftarkan semula persekolahannya....Jadi pada dialah nanti yang aku harapkan dapat menjaga ayahnya bila aku ke sekolah. Razi walaupun sedang bercuti...tapi dia dah mula kerja sementara sejak mula bercuti dulu..
Memang Allah Maha Kaya... kalau tidak pening juga kepala memikirkan bagaimana aku harus mengurus semua ini...

Apa-apa pun aku tahu semua ini ujian Allah pada aku...semoga tabah menghadapinya....

Isnin, 28 Mei 2012

Alhamdullillah...

Alhamdullillah. ....hari ini genap seminggu My suami masuk hospital...dan sehari ke sehari  keadaannya bertambah baik... dah boleh duduk dan ke tandas.
 Buktinya lihat saja gambar di atas...dah boleh duduk dan berfacebook...



Pengalaman menarik..siapa sangka jumpa pula si Shahir AF di wad ini... kerana datang ziarah bapanya yang sakit. Pada hari aku bergambar ini...bapanya dah dibenarkan balik..

wajah si Razi yang keletnihan. Malam menjaga ayah kemudian terpaksa balik ke kampong Bota
untuk mengambil kerusi roda untuk ayahnya... 
                        Si Kecik dan laptop..setia menunggu ayahnya.. Dah boleh diharap menolak kerusi roda ayahnya ke tandas..
Si kecik ni bagusnya dia bukan jenis yang geli  untuk bantu ayahnya ke tandas...terharu juga tengok dia sabar menunggu ayahnya...di tandas.








Sabtu, 26 Mei 2012

Salam dari Hospital...

       Hari ini dah masuk seminggu aku b erulang alik ke hospital... Tapi alhamdullillah, semuanya beransur baik....Dan my suami pun dah dibedah untuk dimasukkan besi hari jumaat lepas... walaubagaimana pun...semuanya masih semua urusan di atas katil. Insyaallah sehari dua lagi mungkin dibenarkan balik..

       Anak-anak alhamdullillah...setakat ini turut bagi bantuan., bergilir gilir menjaga si ayah...terutama si kecik, begitu setia menunggu ayahnya dan sanggup bermalam dengan aku untuk menemani si ayah...
   Apa apa pun setiap kejadian ada hikmahnya.. Semalam aku dikunjungi oleh rakan sama sekolahku semasa di tingkatan satu....Kami sama -sama tinggal di asrama..lebih kurang 35 th dulu.. Walaupun kami sama sama tinggal di Ipoh, baru sekarang bertemu kerana baru dipertemukan semula di facebook..